Pertama, kami harus menjelaskan sebab paling utama kami menjawab tuduhan ini adalah kerana buku yang diserang itu adalah milik salah seorang daripada admin kami. Antara tohmahan-tohmahan yang dilontarkan ke atas kami ialah kami cuba mendakwa raja-raja mereka sebagai Melayu, serta pelbagai lagi tohmahan. Malangnya apa yang dikarang dalam artikel kami tidak dijawab kembali dengan fakta sejarah, tetapi sekadar tohmahan berbentuk serangan perkauman.
Perlu untuk kami perjelaskan kepada likers, petikan dalam gambar itu adalah daripada buku MEMBONGKAR RAHSIA DUNIA MELAYU dalam bab yang mengulas mengenai seorang raja yang memerintah India Selatan yang datang daripada maharaja yang bernama Khulotongga. Dalam dakwaan kami di dalam buku itu, Khulotongga itu merupakan seorang raja separuh Melayu.
Jadi, izinkan kami untuk menjelaskan segala kekusutan yang melanda di sini. Pertama, dalam kita membicarakan tentang identiti Khulotongga itu, perlunya untuk kita mendalami beberapa buah kisah yang melibatkan penaklukan orang Melayu ke atas Selatan India dahulu.
Rasanya perlunya untuk saya memulakan perbincangan ini dengan membawa sebuah keratan daripada Sen Tansen. Buddhism, Diplomacy, and Trade: The Realignment Of Sino-Indian Relations, daripada University Of Hawaii, Honolulu pada halaman ke 224. Tidak juga ketinggalan sumber Song Shi (History Of The Song Dynasty) yang dikompilasikan semula oleh Tuo Tuo (1212- 1255) et al. Beijing: Zhinghua shuju yang menyebut pada halaman ke-489:
“Kerajaan Chola adalah jajahan Srivijaya, dan atas sebab itu pada fasa pemerinatahan Xining (1068 – 1077), kami menulis kepada pemerintahannya di atas diperbuat dari kertas dan bersarungkan sutera polos sahaja. Dalam masa yang sama, kerajaan Pagan (di Burma) ialah sebuah kerajaan yang bebas dan bukannya jajahan kerajaan lain di beri warkah yang lebih baik materialnya.”
Itu ialah bukti catatan dari China yang pertama yang kita perlu ambil sebagai bukti kukuh dalam pembentangan kali ini. Seterusnya, terdapat catatan daripada raja ini dalam sebuah buku bertajuk Ancient India: Collected Essays on the Literary and Political History of Southern India tulisan Sakkottai Krishnaswami Aiyangar yang menyatakan bahawa Khulotongga dibesarkan jauh dari tanah airnya.
Selain daripada rekod di atas, suffix nama ‘Tungga’ itu sebenarnya tidak pernah digunakan oleh oleh mana-mana Raja Chola sejak zaman awal penubuhannya tetapi dapat dilihat pada Maharaja Melayu Srivijaya seawal abad ke-8 masihi lagi. Dan entah tiba-tiba, muncul dalam sejarah seorang raja dalam sejarah Chola memakai gelaran Tungga yang sebenarnya adalah warisan Nusantara.
Dalam sebuah makalah bertajuk Chinese Texts Describing or Refrrering to The Chola Kingdom as Zunian, tulisan Noboru Karashima dan juga Tansen Sen, ada sebuah perenggan yang menyebut bahawa Chola yang dibahaskan sebagai Zhunian sebagai berada di bawah pemerintahan seorang Maharaja Srivijaya yang dibahaskan sebagai Diwakara. Petikan daripada makalah itu adalah di bawah:
“Song huiyao adalah sumber bahan yang paling penting yang memberi maklumat kepada pengumpul / penyusun Songshi, dan dalam seksyen lidai chaogong, yang merekodkan kedatangan utusan dari negara-negara asing, status Di-hua-jia-luo digambarkan sebagai fanwang, seorang raja asing atau penguasa Zhu-Nian, dengan itu membezakan dia dari raja Zhu-Nian.”
Dalam naskah Journal of the South-East Asian History (Singapore) September – 1964, turut mencatatkan bahawa terdapat Inskripsi dalam sebuah kuil di Guangzhou yang dibaiki pada tahun 1060-an hasil sumbangan dari raja Diwakara menyatakan bahawa Diwakara ketika itu ialah maharaja empayar Sriwijaya.
Pertama, saya cadangkan untuk para likers mencari sebuah buku yang bertajuk Tokoh-Tokoh Melayu Yang Agung Dalam Sejarah, tulisan Raja Mohd Affandi, pada tahun 1975, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia ketika itu yang membincangkan dengan mendalam mengenai seorang tokoh Melayu dalam sejarah yang bernama Manabharana yang menjajah Selatan India.
Buku ini akan menceritakan kisah yang lebih kurang sama dengan apa yang akan terpapar pada para likers kalian, kisah seorang Raja Chola yang memerintah Selatan India yang mempunyai separuh darah Melayu.
Pada hujung pemerintahan Virarajendra telah berlakunya perebutan kuasa di kerajaan Chola. Adhirajendra Chola, salah seorang daripada puteranya, setelah memenangi sebuah peperangan di India dan telah dijadikan bakal raja. Tindakan ini telah menghampakan Kulotungga yang sebelum itu pada zaman datuk sebelah ibunya telah dijanjikan untuk menaiki takhta Chola. Di sini kita akan mendapat tahu siapa sebenarnya Kulotungga ini. Kulotungga sebenarnya adalah cucu Rajendra Chola. Nenek sebelah ibunya merupakan seorang puteri Srivijaya yang telah membuat perjanjian dengan datuknya Rajendra Chola agar Kulotungga dijadikan raja apabila dewasa.
Semasa Kulotungga masih kecil , dia telah dijadikan sebagai anak angkat oleh neneknya sendiri Si Puteri Srivijaya, manakala bapa saudaranya Rajendra II diberikan takhta Chola. Oleh itu Kulotungga mempunyai darah peranakan Chalukya bangsa Kannanda, darah Chola bangsa Tamil dan darah Melayu Srivijaya. Selepas datukya dibunuh, Kulo mungkin dibesarkan neneknya di kerajaan Srivijaya untuk keselamatannya sehinggalah dia dewasa kemudian pulang ke Chola. Darah Chola hanya mengalir dalam darah belah ibunya. Oleh sebab itu mungkin selepas beliau menaiki takhta maka terputuslah jurai keturunan dinasti Vijayalaya yang hanya ada sedikit kesannya dari darah sebelah ibu, ini kerana ayahnya adalah dari dinasti Chalukya dan ibunya pula ada darah Chola dan Srivijaya.
Siapa sebenarnya Puteri Srivijaya yang berkahwin dengan Rajendra Chola satu tersebut? Menurut sejarawan Thai dan Sri Lanka, Mara Vijayatunga, Maharaja Srivijaya Kataha ada empat orang anak iaitu dua lelaki dan satu perempuan. Dua darinya kita ketahui sebagai Sanggrama Vijayatungga dan Samara Vijayatungga manakala yang perempuan belum dipastikan.
Semasa Rajendra Chola menyerang Srivijaya, Maharaja Sanggrama Wijayatungga dan adik perempuannya berjaya ditawan manakala,Samara Vijayatungga dapat meloloskan diri. Adik perempuan mereka yang ditawan inilah Puteri Srivijaya yang berkahwin dengan Rajendra Chola dan melahirkan Amangga Dewi yang kemudiannya berkahwin dengan anak Raja Chalukya bernama Rajaraja Chola Pandita. Dari perkahwinan mereka berdua maka melahirkan pula Kulotungga.
Apa yang menarik tentang hipotesis sejarawan ini adalah bagaimana ia mengaitkan peristiwa-peristiwa sejarah Chola, Sri Lanka dan Srivijaya dengan karya Sulalatus Salatin. Walaupun disebut bahawa Rajendra Chola berkahwin dengan Puteri Melayu, namun tiada lansung bukti yang menunjukkan dari perkahwinan ini lahirnya raja-raja Melayu berketurunan Tamil Chola. Namun ironinya perkahwinan ini pula telah melahirkan Raja-Raja Chola Tamil berperanakan Melayu melalui jurai perempuan.
Sekarang kita sudah tahu siapa Kulotungga yang sebenarnya, kita pergi pula dengan persoalan bagaimana beliau boleh menaiki takhta Chola. Akibat daripada kecewa dengan tindakan bapa-bapa saudaranya yang tidak menunaikan wasiat Rajendra Chola agar beliau dijadikan Raja Chola apabila dewasa, Kulotungga telah meninggalkan Chola dengan para pengikutnya dan menuju ke Kerajaan Pandyan (juga sebuah kerajaan Tamil di selatan India) untuk cuba merampas kerajaan tersebut. Namun tindakan beliau ini ternyata salah dan membawa padah apabila dengan mudah pasukan Kulotungga dikalahkan oleh Raja Sundra Pandya.
Setelah itu Kulotungga bersama pasukannya menuju ke Sri Lanka pula untuk mengadu dan mendapatkan simpati dari Raja Sri Lanka bagi membantunya mendapatkan takhta Chola. Namun demikian Raja Sri Lanka tidak mahu memberikan sebarang bantuan. Dari situ beliau kemidiannya telah pergi pula ke Kemboja untuk meminta bantuan Raja Kemboja dan akhirnya permintaannya dikabulkan oleh Raja Kemboja yang telah memberikan angkatan tentera yang besar untuk beliau bagi menawan Kerajaan Pandyan. Namun sekali lagi kegagalan menimpa beliau apabila beliau berjaya dikalahkan dan terpaksa berundur ke Sri Lanka. Di Sri Lanka Raja Mahendra yang simpati dengan beliau telah melantiknya sebagai seorang gabenor untuk satu daerah di negeri itu.
Selama Kulotungga tinggal disitu, cita-citanya untuk mendapatkan takhta Chola tidak pernah padam. Akhirnya beliau telah membuat keputusan untuk pergi ke tanah asal neneknya, Srivijaya. Pada masa itu Samara Vijayatungga masih hidup dan mungkin sudah sangat tua. Ini bermakna akhirnya Kulotungga terpaksa meminta bantuan daripada datuk saudaranya sendiri bagi mendapatkan takhta Chola. Mengapa tidak sejak dari awal beliau berbuat demikian itu masih tidak diketahui. Kulotungga telah memohon bantuan ketenteraan dari Samara Vijayatungga untuk menawan Chola dan beliau berjanji untuk tunduk menyembah kepada Srivijaya apabila beliau berjaya menaiki takhta Chola.
Samara telah bersetuju dan menngarahkan anaknya yang bernama Manabharana bersama satu angkatan tentera Melayu yang kuat untuk pergi menakluk Chola. Persetujuan Samara ini menurut sejarawan berkemungkinan disebabkan Virarajendra Chola pernah masuk campur dalam urusan Kerajaan Srivijaya sebelum itu dan hal ini tidak disukai oleah Samara Vijayatungga. Oleh kerana Srivijaya berada sangat jauh dari Chola iaitu lebih dari 1000 batu, Manabharana sebagai seorang jeneral yang berpengalaman sedar betapa susahnya untuk mengangkut tentera dan menyediakan bekalan mereka sekiranya gerakan mereka berpusat di Srivjaya.
Bagi menyelesaikan masalah ini baginda telah membina markas tenteranya di Sri Lanka kira-kira 260 batu dari Chola. Sri Lanka pada ketika itu diperintah oleh ipar duainya sendiri, jadi tiada masalah untuk Manabharana membina pos tentera disitu.
Selain memerlukan bekalan makanan dan lain-lain keperluan peperangan dari Mahendra, Manabharana juga perlukan jasa baiknya untuk memujuk raja Kerajaan Pandya agar menyokongnya dalam usaha menyerang Chola. Manabharana telah pergi ke Madhurai ibu kota Pandya untuk berbincang dan memujuk raja Pandya kerana sebelum itu Kulotungga telah dua kali cuba menyerang Pandya dan sekarang hendak meminta batuan pula bagi mendapatkan takhta Chola.
Tetapi kerana mengingati jasa Manabharana dan ayahnya Samara Vijayatungga yang dahulunya telah membantu Pandya mendapatkan semula kerajaan Pandya dari Chola, Sundra Pandya pun bersetuju untuk membenarkan tentera Manabharana dan Kulotungga melalui negerinya semasa hendak menyerang kerajaan Chola.
Kerana diplomasi manabharana berjaya, maka kata sepakat telah dicapai diantara ketiga-tiga pihak untuk melanggar kerajaan Chola secara bersama. Manabharana telah mengepalai tenteranya menyeberangi selat untuk masuk ke negeri Pandya. Seterusnya dengan melalui jalan darat dan jalan laut Manabharana mengepung kerajaan Chola. Dalam masa ini Virarajendhra telah mati dan terdapat penentangan dalaman terhadap pelantikan Adhirajendra sebagai Raja Chola.
Sebelum Adhirajendra dapat menaiki takhta Chola beliau terpaksa meminta bantuan daripada kerajaan Chalukya dan rajanya Vikramaditya yang sebelum itu merupakan musuh tradisi Chola. Setelah Adirajendara menaiki takhta Chola, sebahagian daripada tentera Chalukya tinggal disitu untuk mempertahankanya. Hal ini menyebabkan orang-orang Chola marah dan tidak lagi menyokongnya kerana melibatkan pihak asing berbangsa Kannanda untuk campurtangan dalam hal ehwal negara mereka, nak pula Chalukya adalah musuh kepada Chola.
Setelah mendapat tahu akan keadaan anarki ini, Manabharana sedar akan peluangnya dan terus menyerang Gangaikondacholapuram secara mengejut dan dapat menawan kota tersebut. Tentera Chalukya telah lari balik ke negara mereka dan Manabharana telah memanggil semua pembesar kerajaan Chola dan memberi kata dua samaada tunduk kepada Srivijaya atau menghadapi kehancuran. Mereka telah menerima kata dua itu dan Adhirajendra dibunuh dan Kulotungga dijadikan Raja Chola. Orang-orang Chola mahu menerima kata dua itu kerana mereka bencikan Raja Vikramaditya dari Chalukya yang sebelum itu selalu berperang dengan mereka.
Manabharana tinggal di Gangaikondacholapuram untuk menyaksikan pertabalan Kulotungga sebagai raja Chola. Setelah itu baginda pergi ke Sri Lanka untuk melaporkan kejayaan besar mereka kepada Raja Sri Lanka dan mengucapkan terima kasih akan bantuannya. Kemudian beliau pulang ke Srivijaya dan kepulangannya disambut oleh ayahnya Samara Vijayatungga secara besar-besaran sebagai penakluk Chola.
Kedua-dua anak beranak ini, Manabharana dan ayahnya Samara Vijayatungga bersikap realistik. Walaupun tentera Srivijaya telah dapat menakluk negeri Chola, mereka tidak ingin menjajahnya secara terus kerana mereka sedar negeri itu terlalu jauh untuk ditadbir. Mereka juga sedar akan risikonya kerana jika suatu hari nanti orang-orang Tamil Chola bergabung untuk menjatuhkan pentadbiran mereka disana.
Tujuan mereka bukanlah untuk menjarah atau menjajah sebaliknya untuk menunjukkan kekuasaan Srivijaya. Sejak dari hari itu tidak adal lagi serangan dari mana-mana negeri di Selatan India terhadap Srivijaya kerana Kulotungga Chola telah berjanji untuk tunduk kepada Srivijaya sebagai sebuah kerajaan yang lebih utama dan kuat.
Oleh sebab itu jika kita baca sejarah kerajaan Chola selepas Kulotungga naik takhta, tiada lagi ekspedisi untuk menyerang Srivijaya. Hal ini mengesahkan catatan China yang menulis bahawa Chola berada dibawah jajahan Srivijaya dan Kulotungga pernah pergi ke China dengan menggunakan nama Srivijaya. Ketika kedatangan Kutolongga inilah juga, catatan China ada menceritakan bahawa Chola berada di bawah Srivijaya.
Pada mulanya penyambut utusan ingin melayan kedua-dua utusan luar tersebut dengan cara dan layanan yang sama kerana mengaggap yang Chola adalah sebuah kerajaan merdeka. Namun menurut catatan Ma Tuan Lin, terdapat seorang pegawai China yang mengetahui bahawa Chola telah berada dibawah kekuasaan Srivijaya ketika itu dan mengarahkan agar utusan Chola dilayan dengan taraf lebih rendah sedikit daripada utusan Pagan kerana utusan Pagan adalah dari raja yang berdaulat dan merdeka.
Kebetulan, di dalam Hikayat Hang Tuah ada menyebut kisah kononnya orang Melayu pernah menjadi raja di benua Keling (panggilan Melayu untuk India Selatan. Panggilan ini terkenal sejak ribuan tahun yang lalu kerana Perang Kalingga, dan tidak berbaur sebarang unsur penghinaan.):
“Sekali persetua saudagar yang bernama Parmadewan itu melihat di dalam nujumnya itu; maka dilihatnya dalam nujumnya itu di Tanah Melayu itu sekarang sudah diturunkan Allah Subhanahu wa taala seorang raja dari keinderaan. Maka raja itu beranak laki-laki empat orang terlalu amat baik parasnya. Setelah dilihatnya dalam nujumnya maka parmadewan pun fikir dalam hatinya. ‘Adapun benua Keling ini tiada beraja, baik aku berbelanjakan hartaku ini aku hendak menjadikan raja dalam negeri ini, kerana hartaku pun terlalu banyak; kerana harta dunia ini tiada gunanya…”
(Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah (Edisi Pelajar), DBP)
Kesimpulannya dari artikel ini, kalau ada bentuk penafian yang cuba dibuat, maka buatlah dalam sebuah bentuk kajian dan artikel penuh yang membincangkan setiap sumber yang kami paparkan. Kami bukan mahu mencetuskan isu perkauman atau sebagainya, tetapi pandanglah artikel ini sebagai sebuah perbincangan ilmu yang lebih besar tarafnya dari isu perkauman Melayu vs Tamil atau seumpama dengannya.
Akhir kata daripada kami, apa yang dipaparkan dalam artikel ini adalah teori dan hipotesis yang dibangkitkan bersandarkan bukti-bukti daripada pembacaan dan sumber kami. Ianya bukanlah bermakna bahawa ianya kebenaran semata-mata.